adsense

07 September, 2007

Kekuatan akidah halang keruntuhan akhlak



Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Thu | Sep 06, 07 | 03:08:11 PM


Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi. Adakah ia benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Ya, memang berlaku, bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya.

Pada hari ini, kita sering mendengar berita tentang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat mencedera dan membunuh mereka. Berlakunya gejala pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sehingga melahirkan anak luar nikah, remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat batuk dan sebagainya, bahkan kita sudah mendengar ada kanak-kanak sekolah yang mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu membakar rumah guru dan sekolah, bukanlah suatu yang pelik pada hari ini.

Di manakah silapnya apabila pemuda pemudi menjadi rosak akhlaknya? Banyak jawapan yang boleh diberikan. Semua jawapan tersebut berkaitan di antara satu sama lain dan bantu membantu ke arah kerosakan akhlak remaja hari ini.

Asas pendidikan remaja adalah di rumah. Sekiranya di rumahnya sendiri mereka tidak mendapat asas pendidikan, maka apabila berada di luar rumah sudah tentu payah untuk membentuk peribadi Muslim yang sejati kerana godaan dan pancaroba di luar sana seperti pergaulan dengan rakan-rakan yang jahat, pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan dan sebagainya adalah lebih hebat dan mencabar. Hanya mereka yang mempunyai asas pendidikan Islam dan diwarnai oleh akhlak yang murni yang berpeluang untuk selamat, namun bukan sedikit yang tercicir di pertengahan jalan.

Oleh itu, ajaran Islam telah menentukan cara untuk melahirkan rumah tangga Islam yang sejati, yang akan menumbuhkan tunas-tunas Islam, yang mampu tumbuh menjalar dan membesar dengan sempurna, tidak mampu dihalang dan dicantas oleh gejala maksiat yang bersimpang siur, kiri dan kanan, akan lahirlah pemuda-pemuda dan generasi sebagaimana firman Allah (maksudnya): Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, maka kami (Allah) menambahkan kepada mereka dengan hidayah. (Al-Kahfi: 13)


No comments:

Blog Widget by LinkWithin