adsense

17 September, 2007

Maria Cordero amalkan makan jeli gamat



17-09-2007 12:52:05 PM
Oleh DALILAH IBRAHIM
MARIA Cordero merupakan satu nama besar di Hong Kong. Kerjayanya sebagai seorang penyanyi, pelakon dan hos televisyen bermula di awal tahun 80an lagi dan pelbagai pengalaman pahit manis telah dilaluinya sebagai seorang anak seni.

Jika anda masih ingat, Maria yang memang sudah terkenal di peringkat antarabangsa pernah beberapa kali membuat persembahan di Malaysia termasuk konsert Four Asian Divas yang menampilkan empat diva popular Asia iaitu Maria, Anita Sarawak, Frances Yip dan Elisa Chan di Arena Of Star, Genting Highlands tahun lalu.

Maria lebih dikenali sebagai Fei Ma (mak gemuk) di Hong Kong kerana saiz badannya yang gempal sewaktu memulakan kerjayanya tiga dekad lalu. Namun apabila bertemu penyanyi bersuara lantang ini, agak sukar untuk mempercayai bahawa tubuh kecil bermulut petah ini pernah menjangkau berat badan sehingga 90 kilogram.


Wajah keibuan Maria Cordero yang membuatkannya amat disenangi
(Foto mStar)
"Ke mana-mana saya pergi pun orang akan panggil saya Fei Ma dan saya amat senang dengan panggilan tersebut," katanya yang berjaya menurunkan berat badannya sehingga 30 kilogram pada 2003 atas setelah mengalami masalah kesihatan.

Berusia 53 tahun, Maria berkata memang sukar untuk dia menurunkan berat badannya kerana antara kegemarannya adalah menikmati masakan yang lazat dan memasak. Malah, Maria turut menghoskan rancangan masakan "Maria's Private Kitchen" yang mempunyai rating bilangan penonton yang amat tinggi di Hong Kong sehingga kini.

"Saya amat gemar memasak terutamanya untuk keluarga saya. Kami sekeluarga beragama Islam dan untuk memastikan makanan yang kami makan adalah halal, saya lebih suka memasaknya sendiri," ujar Maria yang sudah pun bercucu.

Maria yang berasal dari Macau berkata ibunya beragama Islam dan mendidik anak-anaknya tentang selok-belok agama Islam yang turut diamalkan oleh anak cucunya.

Oleh kerana faktor tersebut, Maria amat suka ke Malaysia untuk menikmati makanan halal tanpa was-was.

"Di Hong Kong anda perlu tahu di mana untuk mendapatkan makanan halal dan ini kadang-kala menyukarkan kami sekeluarga. Kalau di Malaysia, kami tak risau," katanya.

Maria berkata salah-satu kegemaran keluarganya adalah makanan segera Burger King yang memang tidak boleh dinikmati di Hong Kong.

"Di bangunan satelit KLIA ada Burger King yang saya akan kunjungi sebelum menaiki kapal terbang untuk pulang ke Hong Kong. Jangan terperanjat, saya akan borong semua burger-burger yang ada kerana anak-anak dan cucu-cucu saya memang menggemarinya," ujar Maria yang juga telah menerbitkan beberapa buah buku resepi masakannya.

Maria (kanan sekali) beraksi bersama-sama Frances Yip, Anita Sarawak dan Elisa Chan di Genting Hinglands tahun lalu
(Foto The Star)
Di Malaysia, Maria merasakan seperti penduduk tempatan kerana masakan di sini memang sesuai dengan seleranya. Namun sejak mempelajari cara pemakanan yang seimbang, beliau lebih berhati-hati dalam memilih makanan yang ingin dimakannya.

"Makanan kesukaan saya dan kebanyakan rakyat Malaysia adalah char kuay teow tapi tahukah anda kuay teow itu mengandungi kandungan minyak yang amat tinggi kerana proses pembuatannya menggunakan bahan tersebut untuk menjadikannya kenyal.

"Lebih baik awak makan satu ekor itik panggang!" katanya lagi.

Maria berkata makanan di Malaysia banyak menggunakan minyak dan ini membuatkan ramai yang naik berat badan mereka walaupun tidak makan banyak.

"Satu lagi perangai orang-orang di Asia adalah kegemaran untuk minum ais - mungkin kerana cuaca yang panas. Ini sebenarnya tidak baik untuk tubuh kita kerana bila kita makan dengan minuman berais, ini akan menyebabkan minyak membeku dan lebih sukar untuk diproses oleh tubuh kita. Jika anda tidak suka minuman panas, minumlah air yang sama dengan suhu bilik.

"Bayangkan anda makan char kuay teow dengan Coca-Cola berais, bunyinya memang nikmat tetapi minyak yang masuk ke dalam perut anda akan terus kekal di situ dan anda pun hairan mengapa berat anda naik," ujarnya sambil ketawa.

Maria juga berkongsi tips untuk menjaga kesihatan dan penjagaan kulit yang ditemuinya di Malaysia.

"Saya amalkan makan sesudu jeli gamat setiap pagi dan malam. Khasiatnya amat banyak termasuk untuk kesihatan dalaman dan kulit yang halus dan licin. Sebagai orang Malaysia, awak beruntung kerana boleh mendapatkannya dengan senang.

"Tak perlu suntikan botox atau pembedahan plastik, produk gamat sebenarnya amat bagus untuk menegangkan kulit terutamanya di bawah dagu dan leher," katanya lagi.

Maria banyak terlibat di dalam kerja-kerja amal termasuk menjadi jurucakap untuk Tabung Amanah Buah Pinggang Kanak-Kanak, Persatuan Alzheimer Hong Kong dan dan beberapa buah persatuan dan yayasan lagi.

Beliau turut membantu Lembaga Pelancongan Hong Kong untuk mengenal pasti restoran-restoran halal di negara tersebut bagi menarik lebih ramai pelacong-pelancong yang beragama Islam.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin