adsense

20 September, 2007

Penjenayah seks makin gila!



19-09-2007 07:30:06 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa bertindak lebih tegas membanteras penjualan video lucah serta bahan bacaan yang boleh merosakkan akhlak masyarakat yang dipercayai antara punca meningkatnya jenayah seksual yang teruk sejak kebelakangan ini.

Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe, ketika membuat gesaan itu, juga mahu kerajaan mengkaji undang-undang sedia ada mengenai pemilikan, penjualan dan penyebaran bahan lucah dengan memperkenalkan hukuman lebih berat sebagai satu cara membanteras kegiatan itu.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mencari kaedah berkesan bagi menapis penyebaran bahan pornografi melalui internet, terutama yang membabitkan kanak-kanak.

"Kerajaan mesti bertegas dalam hal ini kerana manusia sekarang sudah menjadi semakin gila. Langkah drastik perlu diambil untuk melindungi golongan lemah, lebih-lebih lagi kanak-kanak, daripada menjadi mangsa seksual golongan buas yang mudah terpengaruh dengan adegan lucah melampau seperti yang ditayangkan video lucah dan internet," katanya kepada mStar Online hari ini.

Tan berkata demikian ketika diminta mengulas pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan yang mayatnya dijumpai merengkok dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya dua hari lalu.

Kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan antara enam hingga sembilan tahun itu disahkan menjadi mangsa penderaan seksual melampau setelah bedah siasat mendapati kemaluannya disumbat dengan mentimun dan terung.

Doktor mengesahkan punca kematian kanak-kanak malang itu, yang belum dikenal pasti hingga hari ini, adalah akibat kecederaan teruk pada organ dalaman mangsa.

Tan berkata, selain mengukuhkan undang-undang dan meningkatkan penguatkuasaan kawalan terhadap bahan lucah, ibu bapa juga perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka di luar rumah.

"Zaman sekarang terlalu mencabar untuk anak-anak kita dibiarkan tanpa pengawasan. Mereka juga mesti dididik supaya sentiasa berwaspada dan tidak mengikuti sesiapa sahaja apabila diajak ke sesuatu tempat," tambahnya.

Beliau juga menyeru masyarakat agar lebih prihatin terhadap nasib kanak-kanak dan tidak membiarkan sahaja apabila melihat kanak-kanak berseorangan di tempat di mana mereka sepatutnya ditemani orang dewasa dan jika melihat mereka ditemani orang yang mencurigakan.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin