adsense

11 September, 2007

Rock yang diIslamkan?



Hayati 'Islam' dalam pub!
10-09-2007 05:08:59 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Mungkin pemilihan tempat untuk Konsert Hayati di Ruums, Life Center, agak 'kurang sesuai' kerana umum sedia maklum ianya adalah sebuah 'bar' dan 'pub.'

Namun sebagai satu pendekatan baru tempat ini dipilih dan ianya bukan penghalang perjalanan konsert ciri 'rock Islamik' yang menampilkan penyanyi rock tanpa dadah dan alkohol.

Ternyata niat ikhlas Pengarah Urusan Nusantara Germs Dato' Raja Rezza Shah atau Shah Reza ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton apabila seramai 1,000 orang hadir pada petang semalam.


Persembahan pembukaan oleh Faizal tidak sia-sia
dengan menyanyikan tiga buah lagu
(Foto The Star oleh Kevin Tan)
"Dalam masa yang begitu singkat dan kekurangan 'sponsor', saya sebenarnya lebih bersyukur sebab ianya lebih dari apa yang saya jangkakan.

"Daripada penonton yang hadir, mereka berkelakuan baik. Saya betul-betul gembira kerana banyak perkara yang terkawal.

"Dengan imej tersendiri dan tema hiburan alternatif, ada juga artis rock yang tak nak ubah tapi 99 peratus menunjukkan respon positif ," kata bekas pelakon dan penyanyi Shah Reza selepas konsert itu berakhir.


Ahli Fiqir mendendangkan lagu dengan penuh bersemangat
Menurut Shah Reza, dia mengambil masa kurang daripada sebulan sebelum konsert iaitu selepas pulang dari menghadiri majlis Tilawah Al-Quran di Jakarta. Walaupun dalam masa yang suntuk, Shah Reza perlu mengotakan janjinya walau dalam apa keadaan sekalipun.

Dengan belanja yang kurang daripada RM100,000, beliau akui memang terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki seperti aspek teknikal.

Namun, persembahan artis yang mantap dan bersemangat ketika menyanyikan lagu membuatkan segala cacat cela yang berlaku dapat dimaafkan.

Hattan dan Yasin juga menyampaikan lagu dengan penuh bertenaga
Apa yang diperhatikan, terdapat segelintir pasangan yang berpelukan seolah-olah mencemar konsert yang suci seperti warna pakaian yang disarungkan ke tubuh penyanyi dan pengiring muzik (semuanya berpakaian putih) di bawah pimpinan Riss itu.

"Kita kena realistik. Ini baru pertama kali konsert sebegini diadakan. Mustahil semua boleh betul dalam satu konsert sahaja. Mana kita tahu mungkin mereka suami isteri kan?," jelas Shah Reza seolah memberi 'lampu hijau' tentang aksi melampau pasangan yang hadir.

"Kalau 100 peratus semuanya baik, mungkin saya yang akan taksub pula. Biasalah kita tak boleh nak ubah sesuatu itu secara mendadak. Kalau dapat buat sedikit perubahan pun jadilah.

"Tapi sekurang-kurangnya tiada orang yang mabuk dan mengambil dadah. Saya rasa ini adalah sebuah konsert yang membawa kesan positif'," jelas bekas penyanyi Mekar Sejambak itu lagi.

Ella dan Bienda berduet dalam lagu Kau Tiada Ganti dengan
iringan gitar sentuhan Man Kidal
Menurut Shah Reza lagi, mungkin sebelum ini peminat yang membeli album Ella lupa akan lirik lagunya dan hanya menghayati rentak lagu sahaja ibarat 'suci dalam debu'. Mereka sepatutnya mencari yang tersurat dan tersirat."

"Apa yang penting adalah mesej. Sampaikan mesej melalui lagu-lagu rock kerana masyarakat suka 'judgemental' (bersifat menghukum)," kata Shah Reza.

Konsert yang berlangsung selama dua jam setengah itu turut menampilkan penyanyi rock seperti Ella, Faizal Tahir, Man Kidal, Hattan, dan Mus (May).

Gemersik petikan gitar Man Kidal menghiburkan penonton
Selain itu, konsert yang dihoskan oleh Bob Lokman ini juga menampilkan Yasin, Ahli Fiqir, dan Bienda.

Persembahan 'Konsert Hayati' memang menyentuh perasaan dan yakin ramai yang dapat menerima mesej dan pengajaran yang disampaikan melalui lirik di paparan skrin besar.

Antara persembahan yang bertenaga dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton adalah lagu Rendang Tak Berbuah oleh Hattan termasuk lagu-lagu lain yang disampaikan olehnya seperti Kau Yang Satu, Duit-duit, dan Kepadamu Kekasih yang bercirikan ketuhanan.

Tidak kurang hebatnya Ella dalam lagu Rama-rama dan Mus (Sinar) yang menjadi siulan penonton, membangkit semangat dan bertenaga setelah mendapat sorakan dan tepukan yang gemuruh.

Persembahan daripada Faizal sebagai pembuka konsert juga tidak menghampakan walaupun hanya menyanyikan tiga buah lagu iaitu Raikan Cinta (M.Nasir), Wild World (Yusof Islam) dan lagu yang memenangi Lagu Rock Pilihan dalam Anugerah Era 2007 pada 8 September lalu, Mahakarya Cinta.

Persembahan lagu Sinar oleh Mus mendapat tepukan gemuruh
Kesemua 24 buah lagu yang disampaikan dengan lirik yang berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan serta sentuhan gitar daripada Man Kidal boleh dikatakan berjaya memukau penonton.

Lagu-lagu lain yang mendapat perhatian penonton adalah Alhamdulillah (duet Yassin), 2x5 dan Samseng (Ahli Fiqir), Dari Kaca Mata (Mus) dan Standing In The Eyes, Kasih, Permata Biru dan Gemilang (Ella).

Lagu Gemilang disampaikan secara beramai-ramai pada kemuncak persembahan oleh Ella, Man Kidal, Ahli Fiqir, Mus (May) dan Bob Lokman.

Dengan dua orang penyanyi latar yang mengiringi persembahan, Bob Lokman menjayakan konsert dengan melakukan selingan komedi yang mencuit hati penonton.

Ella tampil dengan kelainan pakaian bercorak batik yang sopan ciptaan Tom Abang Saufi.

Golongan artis dan personaliti tidak ketinggalan menghadiri konsert eksperimentasi yang samada mencetus kontroversi atau medium baru yang bakal diikuti oleh pihak lain selepas ini.

Mereka adalah pelakon kanak-kanak dari filem Tentang Bulan Nik Adruce dan Erin Malik, Datuk Siti Nurhaliza dan suami Datuk Khalid Mohd Jiwa bersama anak tirinya Mohd Asyraf Khalid dan Fifi TV3 (Bersamamu).

"Saya berpuas hati dengan apa yang mereka buat. Konsert rock, rock juga asal ada elemen nasyid walaupun buat di disko tetapi lagu memuji Allah. Memang bagus dan apa yang mereka sampaikan dalam lagu ada nasihat yang baik dan boleh diikuti," kata Adruce.

Anak tiri Siti Nurhaliza, Asyraf, 15 pula berpendapat konsert sebegini adalah bagus kerana beliau melihat ramai 'Mat Rock' datang ke konsert 'Islam'.

"Kiranya sampailah mesej yang mereka ingin sampaikan....," kata Asyraf yang menyukai lagu Kasih dan Rendang Tak Berbuah.

Rata-rata ramai yang terhibur dengan konsert yang julung-julung kali diadakan.

"Best dan puas hati dengan showmanship dan persembahan semua artis. Insya Allah mesej yang ditujukan sampai kepada saya. Saya datang pun sebab konsert ini lain daripada yang lain dan belum pernah diadakan sebelum ini," kata Kaka, gadis berusia 18 yang juga menyukai lagu Kasih.

Konsert Hayati bakal ditayangkan di TV9 pada 17 Oktober ini.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin