adsense

20 January, 2008

Komitmen Kita Terhadap Pendidikan Anak/Tanggungan



Suatu masa dahulu (hujung 60an), saya pernah bercakap dengan seorang penanam sirih ditepi sungai dekat jambatan jalan ke Hutan Lipur Ampang. Pemuda India yan saya panggil Ane itu mengatakan ia berkelulusan BA dari Tamil Nadu. Saya dan kawan-kawan ketawa geli hati. Berkelulusan tinggi tetapi menanam sirih. Ketika itu kelulusan School Certificate dan SPM masih boleh menjaminkan pekerjaan (maksudnya 'desk job'). Senario hari ini berlainan sekali dan tidak payahlah saya jelaskan kerana semua pun tahu keadaan sebenar.

Satu-satu caranya untuk memudahkan hidup dihari muka atau keluar dari putaran ganas kehidupan ialah memperolehi ilmu dunia dan juga akhirat. Secara mudahnya kalau kita berkelulusan SPM dan bekerja sebagai konduktor bas maka biarlah anak/tanggungan kita mendapat kelulusan yang lebih tinggi dan menyara hidup melalui profesion yang lebih baik dan lumayan.

Dengan itu, bagaimanakah komitmen kita terhadap pendidikan mereka? Adakah ia menjadi keutamaan kepada rutin kehidupan kita? Adakah ianya mengatasi keperluan-keperluan lain? Adakah komitmen kita setanding dengan komitmen orang lain?

Pengalaman saya menunjukkan komitmen kita terhadap pendidikan anak/tanggungan memerlukan masa, wang dan kegigihan. Kita mesti sanggup menyokong aktiviti mereka di sekolah. Bertemu dengan guru-guru untuk menyelesaikan masalah atau mendapat penjelasan. Antara lain maksud saya kita kena mengenepikan aktiviti lain jika bertembung waktunya dengan aktiviti sekolah.

Komitmen kewangan bermaksud kita mesti sanggup menabung, berjimat cermat, belanja berhemah dan bijak menentukan keutamaan. Keutamaan pendidikan akan mengatasi keperluan menukar kereta tanpa sebab ekonomi, keperluan menukar radio atau rim sport, langsir baru, dan beberapa perkara lagi yang tidak membawa faedah ekonomi dan kesihatan.

Bermula dari tadika kita perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya RM200 sebulan untuk seorang anak (bergantung kepada dimana anda tinggal). Lainlah kalau kita tidak menghiraukan kualiti atau membuat kerja asal ada sahaja. Kata orang kualiti memerlukan wang, 'if you give peanuts you get monkeys'. Tadika yang mengenakan yuran mahal mempunyai guru-guru terlatih dan juga mengadakan aktiviti -aktiviti menarik. ' (anak angkat saya semasa di tadika sudah boleh bercerita tentang pejabat pos, balai bomba dan taman permainan dalam bahasa Inggeris).

Ramai diantara kita mampu membayar yuran tusyen tetapi tidak mampu memantau pencapaian anak-anak di sana. Belanja tusyen bukannya murah. Di KL yuran bermula dari RM30 hingga RM50 sebulan untuk satu subjek di peringkat sekolah rendah dan dari RM35 hingga RM50 sejam bagi satu subjek untuk tusyen di rumah bagi sekolah menengah. Maksudya kita mesti sanggup berbelanja dari RM100 hingga RM800 untuk tusyen setiap bulan untuk seorang anak. Bagi yang berugama Islam jangan lupa pula kelas fardhu ain dan al Quran untuk anak-anak. Hari-hari untuk membayar ustaz/ustazah RM2 sebulan telah lama berlalu. Guru yang berkualiti boleh datang ke rumah dengan bayaran RM100 - RM400 sebulan.

Bila anak-anak memasuki kolej atau universiti, beban kewangan beralih sedikit kepada pelajar (hutang PTPTNlah tu). Kita hanya membantu untuk sara hidup dari RM100 hingga RM300 sebulan. Ada ibubapa yang membelikan kereta untuk anak tetapi anak pula berhutang dengan PTPTN. Anak tidak perasan yang ia akan dibebani hutang bila tamat belajar nanti.

Walau apapun pemilihan subjek/disiplin/institusi adalahlah penting. Mengejar bidang yang diminati dan kemudian menganggur sangatlah tidak ekonomik. Keadaan ekonomi semasa memberi gambaran keperluan pasaran tenaga akan datang. Ada profesion yang 'evergreen' seperti bidang perubatan dan CPA. Ada profesion sedang berkembang seperti bioteknologi dan ada juga profesion yang sudah tepu kerana pelbagai sebab. Pandai-pandailah memilih bidang agar tidak menanggung hutang dan menganggur. Yang utama jangan dengar pandangan negatif yang tidak berasas, sebagai contoh, subjek ini susahlah, mesti fasih bahasa Inggerilah, pelajar Melayu tidak ramailah dan sebagainya. Yang penting ialah anda tidak menganggur bila tamat belajar nanti.

Semua pelajar ingin memasuki IPTA terutama UM. Itu adalah bagus tetapi kita mesti ada pelan B. Kalau pelajar terpaksa memasuki institusi swasta apakah yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat komitmen kewangan. Perkara pokok untuk memilih kolej swasta ialah reputasi di pasaran. Adakah graduannya laku di luar sana? Komposisi pelajar institusi itu sendiri sudah boleh memberi jawapan. Kedua ialah kedudukan kewangan institusi? Saya lebih yakin dengan institusi yang dimiliki oleh organisasi terkenal dari institusi yang diterajui oleh orang politik atau anak syarikat kerajaan negeri. Jangan mudah tertipu dengan orang ternama yang menjadi peneraju institusi. Dalam banyak perkara ia adalah satu gimik ekonomi. Peristiwa penutupan kolej-kolej bumiputra di masa lalu sudah cukup untuk dijadikan panduan. Ketiga ialah kursus yang ditawarkan. Adakah ia kursus francais tempatan atau luar negeri? Siapa pula pesyarah-pensyarah mereka? Semua ini mesti diambil kira sebelum sebarang bayaran dibuat.

Sebagai maklumat tambahan mengapa tidak kita cuba 'meneroka ' institusi lain seperti kursus yang dijalankan oleh MII (terdapat pelajar-pelajar yang ditaja dari Indonesia dan sebagainya), INCEIF, FMM, MIM, Kolej TAR, UTAR dan sebagainya.

Tulisan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dan bukan untuk berhujah. Maafkan saya jika ada maklumat yang tidak tepat. Semoga kita sanggup melabur untuk pendidikan anak/tanggungan. Pelaburan ini mestilah dibuat dengan bijak agar ia memberi pulangan yang baik. Semoga pelaburan kita mendapat berkat, diberi pahala dan diredhai oleh Allah SWT. Semoga anak/tanggungan kita berjaya dalam pelajaran dan menjadi manusia bermenafaat kepada yang lain. Sekian.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin