adsense

05 January, 2008

Tip pindah rumah baru



Keliru amalan masuk rumah baru

KAMI baru mendapat kunci kondominium baru. Apakah ada peraturan dalam
Islam yang perlu kami ikuti sebelum memasuki rumah baru itu?
Saya ada diberitahu rakan, sekiranya ingin berpindah ke rumah baru,
sebaiknya rumah itu dicuci sebanyak tiga kali dan dibiarkan terang
(pasang lampu) selama tiga malam. Adakah ini amalan dalam Islam?

Ada juga memberitahu saya, perlu membawa sedikit garam, gula, kunyit
dan asam ketika hendak masuk ke rumah baru. Adakah ini juga amalan
dalam Islam?

Wan Raihanatun | Klang.

MEMASANG lampu selama tiga malam sebelum berpindah dan membawa sedikit
garam, gula, kunyit dan asam ketika hendak masuk rumah baru bukan
amalan Islam. Tetapi membersihkan kediaman dengan sebaik mungkin amat
digalakkan Islam.

Ini kerana Islam sangat menitik-beratkan aspek kebersihan dan
kesihatan. Amalan lain yang boleh dilakukan adalah dengan mengerjakan
solat hajat memohon keselamatan isi rumah dan keluarga. Ia boleh
dilakukan sama ada secara sendiri atau jemaah.

Di samping itu boleh diadakan sedikit jamuan atau kenduri sebagai tanda
syukur dengan menjemput keluarga dan rakan taulan. Bagaimanapun, ia
bergantung kepada kemampuan pemilik rumah dan bukan kewajipan.

Selain itu, amalan membaca ayat Kursi sebanyak tujuh kali dengan
mengulangi sebutan ayat pada maksud: (...dan tiadalah menjadi keberatan
kepada Allah memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat
kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya) sebanyak tiga kali pada
bacaan pertama.

Ketika kelapangan boleh dilakukan sebagai usaha memohon keselamatan
daripada gangguan jahat syaitan dan manusia.

Pada setiap bacaan diniatkan pagar, bermula di sebelah kanan, kiri,
depan, belakang, atas, bawah dan dalam diri secara isyarat. Antaranya
dengan menghimbus pada gengaman tangan dan diisyaratkan di sebelah
kanan, kiri dan seterusnya.

Di samping itu hendaklah selalu membaca doa perlindungan,
maksudnya: "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-
syaitan dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-
syaitan itu tidak menghampiriku" (lihat bacaan dalam al-Qur'an, al-
Mu'minun (23): 97).

Hendaklah berniat bahawa `syaitan' itu termasuk jin dan manusia jahat.
Rumah pula hendaklah diserikan dengan bacaan al-Quran pada setiap hari.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin