Zaini Hashimi Tue | Jul 24, 07 | 02:54:49 PM | |
Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AK) pimpinan Perdana Menteri, Recep Taiyib Erdogan mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen yang telah diadakan pada 23 Julai lalu. Kemenangan itu membuktikan bahawa rakyat Turki yang keluar mengundi tidak ragu-ragu untuk memastikan Parti AK mencapai kememangan mutlak agar sistem pentadbiran negara dapat dijalankan berasaskan Islam walaupun mendapat tentangan dari banyak pihak yang cuba menggagalkan kemenangan AK. Pelbagai lapisan rakyat sokong kemenangan AK Dalam laporan akhbar arus perdana Turki, Cumhuriyet menyebut, bahawa pilihan raya kali ini berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan, lebih-lebih lagi di kalangan orang-orang Yahudi, Kurdis, golongan remaja dan penyokong Parti Saadat memberi undi buat AK untuk menang besar dalam pilihan raya dalam tempoh lima tahun. Menurut laporan itu lagi, terdapat sebelas parti yang bertanding dari pelbagai aliran kefahaman setelah berjaya mengikut peraturan sistem pilihan raya Turki yang mewajibkan setiap parti yang bertanding meraih sokongan sepuluh peratus dari suara pengundi. Calon setiap parti dipilih oleh pucuk pimpinan masing-masing untuk bertanding atau calon-calon itu dipilih berdasarkan pemilihan dalam pertandingan antara anggota parti masing-masing, bagi yang menang barulah dicadangkan untuk mewakili parti dalam pilihan raya peringkat kebangsaan. Keputusan penuh pilihan raya parlimen yang diumumkan SPR Turki semalam yang menawarkan 550 kerusi untuk dipertandingkan, tetapi hanya empat parti sahaja yang meraih kejayaan iaitu Parti AK (Islam) memperolehi 341 kerusi, Parti Republik Rakyat (Sekular) - 112 kerusi, Parti Gerakan Perkauman (Nasionalis) - 70 kerusi dan Parli Bebas termasuk Kurdis (Nasionalis) sebanyak 27 kerusi. Kemenangan AK tanda sokongan rakyat kepada Islam Dalam sidang akhbar sejurus pengumuman keputusan, Perdana Menteri, Recep Taiyib Erdogan berjanji kepada para pengundi dan penyokong parti AK khasnya, bahawa pihaknya tidak akan berganjak dari merealisasikan prinsip asasi bagi sebuah negara republik, terutamanya bagi memulihkan sistem ekonomi dan demokrasi dalam pelbagai aspek. Keyakinan itu disampaikan kepada para pengundi bagi menyatakan bahawa parti AK akan terus memelihara nilai dan penghormatan kepada semua rakyat berasaskan semangat republik yang bertunjangkan aliran Sekular, namun kenyataan beliau itu hanyalah sebagai satu cara bagi meredakan kemarahan para pengundi dari berbagai-bagai aliran kefahaman, kaum dan pegangan yang menyokong AK. Perangkaan analisa keputusan pilihan raya menunjukkan bahawa parti AK pimpinan Erdogan mendapat sokongan tambahan yang memberangsangkan berbanding pilihan raya 2002 yang hanya meraih 90 kerusi parlimen di banyak wilayah yang melayakkan AK membentuk kerajaan baru yang lebih mantap. Keputusan pilihan raya 2007 menunjukkan bahawa AK memperolehi kenaikan sokongan 12 peratus berbanding pilihan raya 2002, ini menunjukkan bahawa imej isteri Erdogan dan Abdullah Gul yang bertudung tidak menghalang sokongan pengundi kepada Islam walaupun rakyat Turki umumnya mendapat pembelajaran sistem Sekular sejak puluhan tahun selepas Turki jatuh ke tangan pengkhianat Islam Mustafa Kamal Attartuk pada 1924. Kemenangan AK juga terserlah di beberapa wilayah yang terletak di persisiran pantai Laut Hitam seperti di wilayah Samsun dengan meraih 57 peratus, Ordu 54 peratus, Rize 53 peratus, Kastamonu 39 peratus dan Sinub 43 peratus. Peranan media yang adil beri kemenangan pada AK Media di Turki sama ada yang bersifat cetak atau eletronik mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat di Turki, ia dianggap oleh para pemerhati politik sebagai kuasa keempat selepas presiden, perdana menteri dan timbalannya. Media di Turki juga dianggap mempunyai kuasa yang amat berkesan seperti al-Quran oleh sesetengah individu masyarakatnya, justeru tidak hairanlah ia ditatap setiap hari seperti kitab suci al-Quran itu sendiri. Di Turki, terdapat kira-kira 3,500 akhbar cetak dan lebih 300 stesen televisyen dari pelbagai aliran dan pendekatan, masing-masing menyiarkan laporan berita yang penuh dengan semangat keadilan dan jauh dari sifat penipuan, ini kerana apabila bahan yang disiarkan itu tidak tepat atau terdapat penyelewengan, maka ia akan dipulaukan, akibatnya ia tidak akan disokong oleh orang ramai dan akhirnya terpaksa menanggung kerugian kos serta membayar gaji pekerja. Dalam isu pilihan raya, setiap media menyediakan bahan segar dan tepat buat pengetahuan orang ramai, mereka melakukan pertimbangan wajar hingga kebenaran berpihak kepada Perdana Menteri, Erdogan yang banyak melakukan perubahan sepanjang lima tahun pemerintahan, jika terdapat laporan yang tidak tepat, maka media yang menyediakannya mendapat kritikan dan menanggung risiko. Dalam laporan mengenai sepanjang perjalanan pilihan raya, setiap media melaporkan kebaikan Parti AK pimpinan Erdogan yang peka dan prihatin terhadap isu rakyat dalam pelbagai aspek, ia bukan sahaja menjadi bahan kempen pilihan raya oleh media, malah sebagai realiti yang telah dibuktikan sepanjang memerintah selama lima tahun, laporan berkenaan menjadi batu loncatan kepada kemenangan AK. Justeru, menurut beberapa ketua pengarang media cetak terkemuka di Turki, menyebut bahawa bedah siasat yang dijalankan pada pilihan raya kali ini, mendapati bahawa laporan media cetak dan eletronik telah menjalankan tugas media sebenar dalam laporan yang dihasilkan, ia bukan sahaja memenuhi berita atau kempen parti memerintah, malah semua parti yang bertanding juga mendapat liputan meluas dilakukan oleh pihak media dengan adil dan saksama walaupun kelemahan Erdogan terpaksa didedahkan tanpa sebarang ugutan. Masa depan Islam di Turki cerah Menurut para pemerhati politik, Islam akan kembali cerah dengan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK), walaupun Erdogan terpaksa menyatakan secara terbuka bahawa beliau akan tetap menerapkan sistem sekular dalam pentadbiran negara, namun ia sebagai satu kaedah bagi meredakan kemarahan rakyat yang sudah sebati dengan fahaman tersebut yang disifatkan sebagai tidak Islam dalam semua hal. Cabaran yang menanti calon-calon AK amat berat dalam menyampaikan risalah Islam selepas dibentuk kerajaan baru, persoalannya di sini, apakah benar semua calon-calon AK mempunyai wawasan yang sama seperti yang dimiliki oleh Erdogan, Abdullah Gul atau Dr Nejmetin Erbakan. Jika masing-masing berperanan dan memahami tanggungjawab selepas dipilih dalam pilihan raya, maka tugas untuk mentarbiah rakyat sedikit demi sedikit ke arah memahami Islam akan dapat diterima, tidak mustahil satu hari nanti Islam akan dapat diterima sebagai cara hidup rakyat Turki secara menyeluruh, tidak kira dari golongan yang mahukan Islam, Sekular, Yahudi, golongan remaja, wanita yang tidak bertudung dan lain-lain, kerana Allah SWT menjanjikan yang terbaik kepada hamba-Nya yang mahukan agama-Nya tertegak di muka bumi ini. - mks. |
ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
25 July, 2007
Luar Negara: Kemenangan AK di Turki hasil sokongan padu rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment