adsense

25 July, 2007

Gara-gara dadah, ibu bapa menjadi musuh



Mohd Sabri Said
Tue | Jul 24, 07 | 07:25:54 AM


SEBERANG JAYA, 24 Julai - Akibat terjerumus dengan najis dadah, ibu bapa dan keluarga sendiri menjadi musuh para penagih sehinggakan sukar untuk menerima nasihat daripada mereka.

Demikian kata Naib Presiden Persatuan ALUMNI Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia (Pendamai Malaysia), Abdullah Mohd Isa apabila turut menjelaskan betapa remaja keluar malam merupakan faktor tertinggi penglibatan mereka dengan najis dadah.

ImageMenurutnya, bila keluar malam pasti mereka berkumpul dan berbual dengan rakan taulan yang berbagai latar belakang sambil menghisap rokok kemudian mencuba arak atau dadah sebagai simbol kebebasan.

"Anak-anak remaja jangan mula keluar malam berpoya-poya. Ibu bapa juga kena pastikan anak remaja mereka tinggal di rumah di malam hari kerana sekali mereka rasa kebebasan sukar untuk dipulihkan, " ujarnya ketika berucap di hadapan belia semperna 'Motivasi Sahabat' anjuran Persatuan Sahabat Belia Pulau Pinang dan Agensi Antidadah Kebangsaan Pulau Pinang di Dataran Kadun Seberang Jaya Ahad lepas.

Jika para remaja sudah terjebak dengan gejala keruntuhan moral termasuk terlibat dengan dadah mereka akan hilang kemanisan hidup.

Walhal, kemanisan hidup memerlukan masyarakat di mana dalamnya ada cubaan dan rintangan yang sendirinya mengajar mereka menjadi dewasa serta berjaya dalam cita-cita.

"Penglibatan dalam kancah dadah menjadikan mereka hilang pedoman sekaligus hilang kemanisan hidup di dunia, " tambah beliau.

Golongan yang insaf di hari tua katanya, terpaksa memulakan penghidupan dari mula semula kerana masa yang ada dihabiskan di Pusat Serenti.

Sekarang ini ramai termasuk bintang filem dan penyanyi terpaksa keluar masuk Pusat Serenti atau ditahan Polis kerana kesalahan serupa.

"Keluar masuk penjara atau Pusat Serenti menjadi rutin hidup sesetengah artis, bintang filem dan selebriti lain bagaimana mereka hendak dijadikan idola remaja masa kini, " terangnya yang pernah terjebak beberapa tahun dalam kancah hina itu.

Jelas Abdullah seterusnya, pada peringkat awal penagihan beliau selalu keluar mengikut rakan untuk mendapatkan bekalan dan mengenal pasti di lokasi mana yang paling selamat memperolehi dadah apabila terjebak secara serius kelak.

Bila menagih kata beliau, apa kata ibu bapa tidak lagi boleh terima sebaliknya menganggap ibu bapa sebagai musuh jika meneruskan halangan.

"Kini baru saya rasa rugi masa dan umur dihabiskan dengan dadah namun begitu saya tabahkan hati untuk menjadi tenaga pemulih bagi menyelamatkan anak bangsa daripada terus hina di bumi sendiri, " jelas beliau yang juga Pengerusi Pendamai Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sahabat Belia Pulau Pinang, Tarmizi berkata, antara objektif program Motivasi Sahabat Bersama Artis ialah untuk menggalakan remaja terlibat secara langsung dalam persatuan belia yang sentiasa melaksanakan aktiviti yang berfaedah dan menyahut seruan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berusaha merealisasikan hasrat negara bebas dadah menjelang tahun 2015.

Turut serta dalam program yang sepatutnya dirasmikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah, Pengarah AADK Pulau Pinang, Akmar Omar dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah. - mks.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin