adsense

22 July, 2007

"Ahli Umno 'kena hulur dulu, baru buat kerja": Najib



Posted on Saturday, July 21 @ 09:15:16 MYT by greenboc
Open Artikel Oleh adli


"\\ Ahli Umno 'kena hulur dulu, baru buat kerja'
20-07-2007 09:13:09 PM TUMPAT: Umno di Kelantan perlu berusaha mengukuhkan perpaduan parti sehingga menjurus kepada "sifar masalah" dalaman, kata timbalan presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau berkata Umno sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi tidak boleh mengelak daripada timbulnya masalah dalam parti akibat perbezaan pendapat, namun perbezaan itu tidak seharusnya berlandaskan kepentingan peribadi, sehingga menjejaskan perjuangan dan matlamat parti.


"Kita (Umno) tidak boleh lari daripada mengalami masalah. Sedangkan suami isteri mempunyai masalah rumahtangga dan mereka akan cuba selesaikan secara rundingan.

"Tetapi masalah perbezaan pendapat janganlah sampai perjuangan dan matlamat parti dikorbankan," kata Timbalan Perdana Menteri semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tumpat, di Dewan Sekolah Menengah Datuk Biji Wangsa, di sini hari ini.

Najib berkata sudah 17 tahun parti PAS memerintah kerajaan negeri Kelantan dan Umno pula masih lagi menjadi pembangkang di negeri ini, yang merupakan satu-satunya negeri yang diperintah PAS.

Beliau membangkitkan amalan budaya mengharapkan upah, "belah buluh ambik kapak, bila hulur baru nampak," dalam kalangan pemimpin Umno sebagai antara masalah yang perlu dihapuskan.

(Ini) terutama bila pilihan raya umum semakin hampir kini, kata Najib.

"Nak hulur baru nampak, nak hulur baru kerja. Kalau tidak hulur tidak kerja, tidak hulur tidak nampak poster. Beri RM20 bilion pun untuk Kelantan kita tidak akan nampak," tegurnya.

Beliau mengingatkan para pemimpin parti agar menukar pemikiran ini dan mengutamakan perjuangan parti iaitu untuk kepentingan bangsa Melayu dan mengenepikan kepentingan peribadi, lebih-lebih lagi jika diri mereka tidak dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum nanti.

Katanya pemimpin seharusnya berfikir apa yang boleh mereka sumbangkan kepada parti dan bukannya berfikir apa parti boleh berikan kepada mereka.

"Mesti ikhlas dalam perjuangan kalau kita ikhlas Allah pasti bersama kita," katanya.

Najib menegaskan bahawa sudah tiba masanya pemimpin Umno di semua peringkat berusaha untuk mengukuhkan kekuatan parti agar dapat dilihat rakyat Kelantan sebagai teladan bahawa Umno mempunyai kepimpinan yang berkelayakan. BERNAMA"

No comments:

Blog Widget by LinkWithin