adsense

06 July, 2007

Pelajar baru Universiti Malaya dihalang solat Zuhur semasa Minggu Suai Kenal




Posted on Thursday, July 05 @ 19:55:39 MYT by greenboc
Respon @ Ulasan u KUALA LUMPUR, 5 Julai - Pentadbiran Universiti Malaya(UM) digesa memberi penjelasan para ibu bapa mahasiswa yang baru mendaftar, ekoran banyak rungutan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan Minggu Suai Kenal (MSK) di universiti yang dianggap paling tua di Malaysia itu.


Ada rungutan ibu bapa yang diluahkan melalui akhbar hari ini mendedahkan terdapat pelajar senior yang terbabit sebagai fasilitator dalam Minggu Suai Kenal itu, yang bukan sahaja tidak mementingkan hal solat tetapi menghalang pelajar baru menunaikan solat Zuhur.


Anggota Exco Pemuda PAS Pusat, Abdullah Abdul Karim berkata UM perlu memberikan penjelasan terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena Minggu Suai Kenal yang dilihat bercanggah dengan nilai-nilai ketimuran dan mengetepikan tuntutan agama.

"Mereka perlu menjelaskan keadaan sebenar seterusnya membetulkan segala kelemahan berdasarkan laporan yang dibuat oleh ibu bapa yang mengadu," katanya.

Pada masa yang sama, ujarnya, ibu bapa dan penjaga pula perlu tampil ke hadapan bagi membuat aduan serta mendedahkan masalah yang dihadapi anak-anak mereka ketika menjalani aktiviti dalam MSK tersebut.

Ini kerana jika masalah ini terjadi di UM, beliau tidak hairan jika keadaan yang sama turut berlaku di kampus-kampus lain.

Abdullah yang juga merupakan mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia berkongsi pengalaman ketika mana beliau dihalang daripada mengadakan pertemuan dengan mahasiswa baru dalam MSK di kampus tersebut pada tahun 2001.

Jelasnya, budaya yang diterapkan di dalam MSK tersebut, tidak lebih daripada menggalakkan mahasiswa ke arah pergaulan bebas dan gemarkan aktiviti hiburan melampau.

"Maka tidak hairanlah UM mengalami kemerosotan ranking memandangkan situasi kampus tersebut tidak menjurus kepada melahirkan produk yang berkualiti serta cemerlang daripada segala aspek," katanya lagi

Dalam Utusan Malaysia hari ini, seorang bapa yang menggelarkan dirinya "Bapa Mithali" dari Changloon, Kedah menyatakan kekesalan terhadap MSK yang telah dijalankan oleh anaknya yang dianggap keterlaluan.

Menurut aduan tersebut, bapa tersebut melauhkan bahawa tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa universiti paling tua itu mendidik anak-anak buahnya dengan aktiviti yang boleh dianggap biadab terhadap budaya negara kita.

Beliau memetik cerita anaknya bahawa mereka diarahkan menari yang dinamakan cheer yang melampau sehingga lewat pukul 3 pagi dalam keadaan percampuran lelaki dan perempuan seperti situasi dalam sebuah konsert.

Selain itu terdapat fasilitator di kalangan pelajar senior yang tidak menitikberatkan soal ibadah solat, yang menghalang anaknya menunaikan solat Zuhur.

Sebagai pelajar baru, anaknya tidak berani untuk berdepan senior tersebut yang disifatkan garang dan tidak mesra pelajar.

"Cuba bayangkan bagaimana perasaan saya sebagai seorang ayah. Anak yang saya didik selama ini dengan ilmu agama diperlakukan sedemikian rupa oleh fasilitator universiti terkemuka itu.

"Saya yakin dan percaya, kejatuhan ranking UM pada tahun lalu adalah disebabkan minda mahasiswanya yang dicemari dengan budaya hiburan," demikian kata "Bapa Mithali" menerusi surat tersebut.

Beliau berharap kepada pihak yang terlibat agar mengambil perhatian kerana perkara ini melibatkan imej universiti sebagai sebuah pusat akademik yang telah dicemari dengan aktiviti hiburan.

Jika perkara ini diteruskan, maka harapan Perdana Menteri untuk menjadikan mahasiswa negara kita mempunyai minda kelas pertama akan terbantut.

"Semoga pihak yang terlibat perlulah mengambil berat perkara tersebut bagi mengelakkan mahasiswa UM terikut-ikut dengan budaya Barat dalam kehidupan seharian mereka," ujarnya ketika mengakhiri surat tersebut.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin