Anis Nazri Thu | Jul 05, 07 | 11:16:57 PM | |
I. Masyarakat kita mempunyai pandangan tersendiri mengenai kedai makan mamak dan kedai melayu. Sebut sahaja tentang kedai mamak, ramai yang menunjukkan mimik muka yang 'menggelikan', khususnya kaum perempuan. Berbeza pula dengan lelaki, yang biasanya lebih gemar memilih kedai mamak berbanding restoran-restoran Melayu. Namun, ada juga golongan perempuan yang gemar ke kedai mamak, dan ada juga lelaki yang tidak suka ke kedai mamak. Bila bercerita tentang kedai makan, sama ada kedai mamak atau kedai melayu, ramai yang menyentuh soal kebersihan. Ramai yang lebih meragui kebersihan di kedai mamak, berbanding kedai melayu. Sedangkan, soal kebersihan ini bukan terletak kepada kedai mamak atau melayu. Ia terletak pada sesiapa sahaja yang mementingkan kebersihan. Ada kedai mamak yang bersih, malah bertaraf hotel 'first class', dan ada juga kedai melayu yang 'hampeh'. Soalnya di sini, saya tidak mahu bercerita tentang kebersihan, tetapi lebih kepada 'service' kedua-dua pemilik kedai makan tersebut. Saya sendiri bukan lah penggemar kedai mamak, namun selalu juga mengikuti suami yang gemar 'mengeteh' di kedai mamak. Satu malam, di sebuah kedai Melayu, pelayan restoran mengambil masa hampir setengah jam untuk mengambil pesanan kami. Tidak cukup dengan itu, hampir lena anak lelaki saya yang berusia 3 tahun menunggu makanan. Seusai menghabiskan hidangan, kami terpaksa menunggu pengusaha kedai mencari wang kecil untuk memulangkan baki. Aduhai...sudahlah mengambil order lambat, terima makanan lambat, timbul pula masalah wang kecil, yang begitu jarang-jarang berlaku di kedai mamak! Saya perhati pula di kedai mamak. Jika kepada pelayan A kita order, pelayan yang sama juga menghantar pesanan kita. Jadi jarang berlaku kesilapan apa yang diminta. Malah, jika sudah selalu di kedai itu, mereka sudah tahu apa yang kita inginkan. Teringat saya kata-kata seorang penceramah ketika menghadiri kursus perkahwinan empat tahun lalu..."Kadang-kadang isteri yang bertahun-tahun berkahwin masih bertanya suami, air apa yang dikehendaki. Sedangkan mamak di kedai, nampak kelibat pelanggan tetapnya, sudah tahu apa yang dicari!" Adakalanya, bila melihat situasi seperti itu, kita akan sedar mengapa kedai-kedai mamak ini boleh 'hidup' lama, berbanding kedai-kedai melayu. Bukan tidak mahu menolong Melayu, tetapi...bagaimana ya? II. Isu keganasan terhadap pembantu rumah asing, khususnya dari Indonesia kembali menjadi topik hangat di media massa negara. Dahulu, kita dikejutkan dengan kes Nirmala Bonat. Kini, kisah pembantu rumah yang nekad melarikan diri melalui tingkat apartment majikannya kerana didera. Jarang kita lihat negara luar memaparkan kisah-kisah sebegini. Kenapa? Adakah perkara seumpama itu tidak berlaku? Atau media mereka tidak meng'highlight'kan kisah-kisah begitu? Saya tidak tahu punca mengapa kes-kes ini berlaku. Kemungkinan ia berlaku disebabkan kedua-dua belah pihak. Pengalaman kawan-kawan dan saudara-mara yang mempunyai pembantu rumah atau 'maid' ini turut. membuka mata dan fikiran saya, mengapa perkara ini berlaku. Ada ketikanya, sikap pembantu itu sendiri menyusahkan atau memualkan. Semua kerja perlu disuruh dan diberitahu bagaimana, bila, dan sebagainya. Malah, lebih teruk lagi ada yang sengaja tidak mengendahkan permintaan majikan tanpa sebarang sebab, sambil bermalas-malasan di hadapan televisyen. Jika sudah begitu, majikan mana yang boleh tahan? Berniat menukar pembantu, berapa ribu pula diperlukan untuk tujuan itu? Namun, tidak dinafikan ada pembantu yang cukup baik, dan rajin serta menyenangkan hati. Ada di antara mereka yang begitu cekap menguruskan rumah dan anak-anak yang diamanahkan kepadanya. Tetapi, masalah terletak pula pada majikan itu sendiri. Perbezaan budaya, adat resam dan bahasa serba sedikit menyumbang kepada salah faham yang berlaku. Lain yang diminta, lain yang diberi. Perkara seumpama itu lazim berlaku apabila membabitkan perbezaan dua buah negara. Usah kata dua negara, jika berbeza dua negeri di Malaysia inipun boleh menimbulkan salah faham di antara keduanya. Ada ketikanya, kesilapan kecil menjadi begitu besar di mata majikan. Di sinilah terletaknya tolak ansur antara majikan dan pembantu. Tidak ada manusia yang sempurna. Semua pihak memiliki kelemahan dan kekurangan masing-masing. Pembantu perlu sedar mereka dibayar upah untuk apa. Tanggungjawab mereka untuk menguruskan rumah dan anak-anak majikan terletak di bahu mereka. Perlu berbesar hati menerima teguran majikan dan sentiasa sedia untuk belajar dan memohon maaf jika melakukan kesilapan. Dalam masa yang sama, jika mereka cekap menguruskan kerja, sudah tentu majikan tidak mengalami masalah untuk berkongsi segala masalah mereka dan memberi ruang rehat yang secukupnya kepada mereka. Begitupun majikan juga perlu sedar, pembantu mereka juga adalah manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Mereka bukannya robot yang boleh dikerah setiap masa tanpa henti. Kesilapan kecil mereka tidak wajar diperbesarkan. Kepada pembantu rumah...cuba renungkan, tujuan anda meninggalkan kampung halaman adalah untuk mencari rezeki dan berusahalah sebaiknya untuk mendapatkan rezeki yang diredhai. Mungkin jika di kampung, anda tidak beroleh pendapatan begini, begitu juga sebaliknya. Kepada majikan pula, bayangkan diri anda yang sebelum ini terpaksa membuat semua kerja-kerja rumah setelah seharian bekerja ketika tiada pembantu. Sedikit sebanyak, kehadiran pembantu cukup membantu anda dari segi ekonomi, tenaga dan sebagainya. Jika mahu bertukar pembantu, hanya kerana kesilapan kecil, yakinkah anda akan memperolehi pembantu yang lebih baik dari sedia ada? Fikir-fikirkanlah...- mr |
ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
07 July, 2007
Perihal restoran Mamak vs Melayu dan pembantu rumah vs majikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
uwek...aku tklalu makan kat kedai mamak sbb aku makan jumpe lalat..adik aku makan jumpe lipas...uwekk
Post a Comment