adsense

13 July, 2007

PAS tidak pilih calon perokok

Oleh WAN ZULKLIFLI WAN YAACOB
JELI 12 Julai – Pas tidak akan memilih pemimpin yang merokok untuk bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang.


Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sebaliknya parti itu akan memberi keutamaan kepada mereka yang tidak merokok agar mampu memperlihatkan keperibadian yang baik dan menjadi teladan kepada masyarakat.


“Merokok disebut haram dan juga makruh. Bagi saya di bumi Kelantan yang sudah lama kita perjuangkan Islam, ia dah jadi haram.


“Kalau saya tahu dia merokok, kita tak perlu ambil dia jika ada calon lain. Pembinaan Islam di Kelantan semakin meningkat dan dalam keadaan sedemikian, kita tak perlu cari (calon pilihan raya) yang tidak mendengar kata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di sini hari ini.


Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditanya pendiriannya mengenai peluang pemimpin-pemimpin Pas yang merokok untuk menjadi calon parti itu.


Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai hasrat Kelab Penyokong Pas yang inginkan beberapa calon bukan Islam turut diketengahkan sebagai calon parti itu, beliau berkata, dari segi Islam ia diharuskan.


“Apa yang harus kadang-kadang sampai ke peringkat wajib, kadang-kadang sampai ke peringkat haram.

Bahaya


“Sebagai contoh, minum air sejuk harus tetapi jika doktor anggap ia bahaya dan amat memudaratkan, ia boleh jadi haram. Kalau minum air lain boleh merosakkan, kecuali air sejuk, maka minuman itu menjadi wajib,” ujarnya.


Menurut Menteri Besar itu, dari segi kerusi pilihan raya, ia boleh diberikan jika seseorang itu cukup syaratnya dengan keperibadian yang baik, memahami dan mendukung perjuangan Islam serta telah lama bersama parti.


Ditanya sama ada beliau akan menyokong langkah kelab itu mengemukakan beberapa nama kepada Pas Pusat untuk dicalonkan bagi kawasan tertentu di luar Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata: “Jika sudah sampai ke peringkat boleh dilakukan dan ada muslihahnya bagi Islam, ia tidak mengapa.”


Bagaimanapun, katanya, ia terserah kepada jawatankuasa pemilihan bagi membuat pertimbangan sama ada sudah sampai masanya peluang diberikan kepada mereka untuk memastikan peluang Pas memenangi pilihan raya umum akan datang lebih besar.


Beberapa hari lalu, Kelab Penyokong Pas meminta golongan bukan Islam diberi peluang buat pertama kalinya untuk menjadi calon parti itu pada pilihan raya akan datang dengan tumpuan di Negeri Sembilan.


Pengerusi gabungan kelab tersebut, Hu Phang Chow berkata, pihaknya akan mengemukakan tiga nama untuk dibawa kepada pertimbangan Pas Pusat.


Nik Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, beliau berharap agar suatu hari nanti ada pemimpin utama dalam parti itu daripada kalangan kaum Cina.

Tags: , , Ads by AdGenta.com

1 comment:

Anonymous said...

saya setuju dengan cadangan tu, kita tak patut pilih
perokok

Blog Widget by LinkWithin