KUALA LUMPUR 18 Julai - Penantian Mariam Johari, 86,
untuk dipertemukan semula dengan tiga orang anaknya
selepas terpisah selama 64 tahun berakhir hari ini
apabila dua daripadanya hadir di studio rakaman Korean
Broadcasting System (KBS), Seoul, Korea Selatan.
Mereka disatukan kembali dalam suasana penuh menyayat
hati yang turut merentap jiwa para penonton yang
memenuhi studio berkenaan ketika program khas merakam
detik-detik bersejarah itu berlangsung.
Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae tidak tahu
menahu mengenai pertemuan yang diatur oleh pihak KBS
dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO sehinggalah
kedua-duanya melangkah masuk ke studio rakaman
tersebut.
Wanita kelahiran Plentong, Johor itu kelihatan
terkejut dan terketar-ketar kegembiraan apabila
melihat Ramlah Sonni, 72, dan Jelani, 70, bergerak ke
arahnya.
Anak bongsunya, Jamnah, 65, yang paling disebut-sebut
oleh Mariam bagaimanapun tidak hadir kerana masalah
kesihatan.
Detik-detik pertemuan penuh dramatik menyebabkan air
mata dua beradik berkenaan tumpah berjurai manakala
Mariam yang berwajah pilu terkedu apabila dipeluk oleh
kedua-dua anaknya itu.
Mariam yang hadir berpakaian kebangsaan Korea dilihat
bergenang air matanya tidak mahu melepaskan tangan
kedua-dua anaknya sepanjang pertemuan itu.
Suasana syahdu yang semakin menyelubungi studio
rakaman tersebut turut dikongsi oleh pengacara
program, wartawan dan delegasi Puteri UMNO yang
menangis teresak-esak apabila cucu Mariam (anak lelaki
Ramlah), Ahmad Onn dan menantu Jamnah, Siti Zainab
Noor dibawa masuk menemuinya sejurus selepas itu.
Pertemuan tersebut yang menggunakan perantara
jurubahasa Korea selama 55 minit akan disiarkan oleh
KBS esok.
Mariam terputus hubungan dengan ketiga-tiganya selepas
mengikut seorang lelaki rakyat Korea, Cho Se Won
pulang ke negaranya ketika Perang Dunia Kedua pada
tahun 1946.
Ramlah dan Jelani masing-masing ketika itu berusia
lapan dan enam tahun manakala Jamnah baru dilahirkan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad ketika mengulas
pertemuan tersebut berkata, rakaman tersebut bermula
dengan latar belakang kedatangan Mariam ke negara itu
selepas mengikut Se Won.
Menurut Noraini, penonton turut diperlihatkan dengan
kesengsaraan Mariam ketika menetap di Korea serta
usahanya menemui jalan buntu sebelum meminta bantuan
KBS menjejaki anak-anaknya di Johor.
Ujar beliau, kemuncak rakaman itu menyaksikan Mariam
menyebut-nyebut nama anak-anaknya sebelum mereka
dibawa keluar dari belakang pentas dalam keadaan
membelakangkan wanita itu.
Menurut Noraini, Puteri UMNO berpuas hati kerana
segala penat lelah untuk menemukan kembali
anak-beranak itu beroleh kejayaan.
Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak menghormati
hasrat Mariam jika wanita itu tidak mahu pulang ke
Malaysia.
''Mariam ada memberitahu pada sidang akhbar yang
diadakan selepas pertemuan itu bahawa dia sudah
terlalu tua untuk pulang dan meminta maaf kepada
anak-anaknya kerana meninggalkan mereka,'' ujarnya
ketika dihubungi Utusan Malaysia di Seoul selepas
pertemuan tersebut.
Turut menyertai rombongan itu ialah Pengerusi Biro
Antarabangsa Puteri UMNO, Datin Ismalina Ismail, Ketua
Puteri Johor, Noraslina Zainal Abidin dan Ketua Puteri
Tenggara, Anita Murad serta wartawan Radio Televisyen
Malaysia (RTM), Zaimah Zahari dan jurukamera Mohammad
Azrul Amir Hamzah.
Mariam yang menghidap sakit tua kini menjalani rawatan
di Hospital Seonggabokji, Seoul sejak beberapa tahun
lalu.
No comments:
Post a Comment