adsense

05 July, 2007

200 e-mel kritik CTOS dipadam


Oleh KHAIRUL AZRAN HUSSIN

KUALA LUMPUR 4 Julai – Isu pencerobohan laman web Jabatan Insolvency Malaysia cukup serius apabila 200 e-mel orang ramai yang mengkritik Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) dipadam dan diganti dengan surat supaya agensi itu dikekalkan.

Kandungan e-mel yang dihantar oleh pihak tidak bertanggungjawab itu - setelah memadamkan e-mel asli - antara lain cuba mempengaruhi fikiran orang ramai bahawa CTOS itu bagus.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas berkata, pihaknya memandang serius cubaan pihak tertentu yang cuba mensabotaj laman web tersebut.

“Ia juga menerangkan faedah yang diperoleh jika CTOS digunakan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan laman web Jabatan Insolvency Malaysia yang diwujudkan khas bagi orang awam membuat aduan mengenai masalah berkaitan CTOS telah diceroboh oleh pihak tertentu.

Laman web yang mula beroperasi sejak Khamis lalu cuba diceroboh oleh pihak tertentu untuk memindahkan data aduan yang disimpan di dalamnya.

Pencerobohan itu dibuat begitu terperinci supaya e-mel yang dihantar pengadu sampai ke laman web tertentu dan bukannya tersimpan di dalam laman web Insolvency.

Kayveas berkata, pihaknya terpaksa memindahkan sebahagian data yang tersimpan di dalam laman web tersebut ke dalam laman web yang lebih selamat.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pihaknya masih belum membuat keputusan sama ada ingin membuat laporan polis atau tidak berhubung perkara tersebut.

Jelasnya, beliau bimbang jika laporan polis dibuat ia akan menjejaskan sebarang usaha yang dilakukan oleh pihaknya untuk menghentikan penggunaan CTOS.

‘‘Saya adakan perbincangan dengan pegawai saya terlebih dulu,” katanya.

Ditanya siapakah pihak yang cuba menceroboh laman web itu, beliau memberitahu pihaknya percaya ia dilakukan oleh pihak yang berkepentingan dalam isu ini.

Beliau menambah, sesiapa yang mempunyai masalah berkaitan CTOS masih boleh terus menghantar aduan ke laman web www.insolvency.gov.my kerana ia kini dilindungi daripada diceroboh.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin