adsense

15 July, 2007

Kisah Artis: Cat Papa Jahat Nikah dan Perkahwinan Ina Ramai Nak Sponsor


KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun menyulam cinta akhirnya komposer muda dan anggota kumpulan Fabulous Cats, Farish Ramli, 33 atau Cat Farish selamat dinikahkan dengan wanita pilihan hati Hartini Ramly, di kediaman pengantin perempuan di Bandar Baru Bangi, semalam.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Datuk Ramly Ali. Di majlis itu Cat Farish yang popular dengan lagu Papa Jahat menyerahkan mas kahwin RM80 berserta wang hantaran RM13,000.


Pada Oktober lalu Cat Farish menghantar rombongan merisik Hartini dan mengikat tali pertunangan pada 17 Mac 2007.

Sewaktu dihubungi, Cat Farish menjelaskan dia bersyukur kerana majlis yang dirancang berjalan lancar.

“Saya mengenali Hartini sewaktu saya masih menganggotai kumpulan Ruffedge. Ketika itu Hartini meminati orang lain tetapi entah mengapa hati saya cukup kuat mahu berkenalan dengannya.

“Menerusi seorang teman yang baik dengan Hartini saya mendapatkan nombor telefonnya dan sering berhubung menerusi SMS.

“Akhirnya saya meluahkan perasaan hati dan mujur dia menerimanya dengan hati terbuka,” katanya menceritakan sejarah perkenalan dengan isteri, sebelum bernikah.

Kata Cat Farish, hatinya kuat mengatakan Hartini calon wanita paling tepat untuk dijadikan suri hidup apabila isterinya menjadi orang paling kuat memberi dorongan agar dia menubuhkan kumpulan Fabulous Cats.

Majlis persandingan turut diadakan di rumah pengantin perempuan pada tengah hari ini sementara keluarga Cat Farish akan mengadakan majlis menyambut menantu pada 21 Julai, di Jalan Duta.
Ads by AdGenta.com


RAMAI PIHAK INGIN TAJA PERKAHWINAN INA
KUALA LUMPUR: Beberapa pihak kini dikatakan menawarkan pelbagai khidmat untuk menaja majlis pernikahan Nordiana Mohd Naim atau Ina dengan Mohd Suhaimi Saad yang bakal diadakan pada 12 Ogos depan.

Biarpun majlis perkahwinan mereka dijangka pada Oktober atau Disember, namun sudah banyak pihak memberi tawaran untuk menaja pakaian pengantin, pelamin, kanopi, kek dan makan minum.


Kata Suhaimi, mereka kini dalam proses perbincangan dan pemilihan berikutan terlalu banyak pihak ingin menaja majlis pernikahan dan perkahwinan dia dan Ina.

“Saya minta maaf kerana tidak boleh senaraikan pihak yang ingin menaja majlis perkahwinan kerana kami masih dalam proses perbincangan. Takut nanti jika disebut, tapi tak dipilih mereka akan berkecil hati.

“Jadi lebih elok jika sudah sah nanti, barulah kami akan beritahu. Lagipun, kami juga perlu memilih mereka yang benar-benar menawarkan perkhidmatan berkualiti.

“Mengenai majlis pernikahan kami yang dipercepatkan selepas bertunang pada 6 Jun lalu, ia dibuat hasil perbincangan keluarga kedua-dua pihak. Selain itu, kami ingin mengelak daripada berlakunya fitnah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain menyanyi, Suhaimi yang juga seorang guru kini mengambil cuti enam bulan untuk memberi tumpuan penuh untuk majlis pernikahan mereka dan pada masa sama sibuk menjayakan pelbagai persembahan.

Katanya lagi, majlis pernikahan mereka diadakan serentak dengan majlis pertunangan adik Ina, Nurizana Mohd Naim, 18.

Pada majlis akad nikah nanti, Ina bakal menerima wang hantaran RM10,000 serta mas kahwin RM22.50.

Mengulas kehadiran begitu banyak pihak ingin menaja perkahwinan mereka, Suhaimi menyifatkannya sebagai rezeki baru bagi pasangan yang akan mendirikan rumah tangga dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.


Powered by Qumana


No comments:

Blog Widget by LinkWithin