isk sedih aku baca berita ni...apa punya anak daa..hampeh betul
KUALA LUMPUR: Hanya kerana enggan memelihara ibu yang sakit tua, seorang anak sanggup `membuang’ ibunya, selain bergaduh sesama adik- beradik selepas memperdaya anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) kononnya wanita uzur terbabit perlu dihantar ke rumah adiknya untuk penjagaan.
Bagaimanapun lelaki terbabit akhirnya bertengkar dengan adiknya di hadapan pintu pagar rumah selepas masing-masing enggan menerima tanggungjawab memelihara warga emas itu.
Lebih memeranjatkan apabila salah seorang lelaki terbabit yang sepatutnya menjaga ibu tua itu sebaliknya membuat laporan polis, kononnya anggota JPA3 yang diminta bantuan menghantar warga emas terbabit cuba menceroboh rumahnya.
Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10 pagi kelmarin, pihak JPA3 Wilayah Persekutuan menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang mendakwa emaknya sakit dan pengsan.
Berikutan itu, sepasukan anggota JPA3 bersama satu ambulans bergegas ke rumah pemanggil terbabit di Taman Melawati, Hulu Klang.
Bagaimanapun sebaik tiba di rumah terbabit, emak lelaki terbabit yang dikatakan sakit sebaliknya dalam keadaan stabil, namun mengalami keuzuran.
“Difahamkan wanita tua berusia sekitar 70-an itu `dikurung’ anaknya di dalam bilik kecil seperti stor yang terletak di bahagian belakang rumah berkenaan.
“Anggota JPA3 yang bersedia membantu untuk menghantar warga emas itu ke hospital sebaliknya diminta supaya warga emas itu dihantar ke rumah anaknya (adik lelaki itu) di Danau Kota, Setapak,” katanya.
Menurutnya, atas dasar belas ihsan dan tanggungjawab kepada masyarakat, anggota JPA3 terbabit bersedia menghulurkan bantuan untuk menghantar wanita tua berkenaan ke alamat rumah diberi. Bagaimanapun lelaki terbabit tidak ikut sama untuk menghantar ibunya itu.
“Namun sebaik tiba di hadapan rumah dimaksudkan, anak kepada warga emas terbabit enggan membuka pintu pagar hingga menyebabkan anggota JPA3 terpaksa menghubungi anak wanita itu di Taman Melawati bagi menyelesaikan masalah itu.
“Apa yang berlaku, pemilik rumah terbabit enggan menerima ibunya hingga mencetuskan pergaduhan antaranya dengan lelaki yang meminta supaya wanita tua terbabit dihantar ke situ,” katanya.
Selepas selesai bertelagah, pihak JPA3 yang sekadar memerhati kejadian mengambil keputusan pulang ke ibu pejabat selepas menyangka perselisihan faham antara adik-beradik itu menemui kata putus.
Difahamkan wanita tua itu kemudian ditinggalkan di rumah terbabit kerana berpendapat pemilik rumah bersetuju untuk menerima ibunya.
“Bagaimanapun keadaan bertukar sebaliknya, apabila pemilik rumah terbabit sengaja membuat laporan polis palsu di balai polis Setapak kononnya anggota JPA3 cuba menceroboh rumah miliknya.
“Akibatnya pegawai JPA3 dipanggil untuk memberi keterangan oleh pihak polis bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kejadian terbabit,” katanya.
Sementara itu jurucakap JPA3 Wilayah Persekutuan yang dihubungi mengesahkan berhubung tindakan polis memanggil pegawai JPA3 untuk memberi keterangan berhubung laporan dibuat itu.
Menurutnya, tindakan pemilik rumah menuduh anggota JPA3 cuba menceroboh rumahnya adalah tidak berasas dan jelas berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik anggota JPA3.
No comments:
Post a Comment